Kisah Kejayaan
Usahawan Berjaya Dengan Bimbingan ICT Dari PI
Kisah perniagaan Puan Nora Anak Doit bermula dari rumah beliau. Beliau mendapati bahawa kawasan rumah beliau amat sesuai untuk dijadikan tempat berjual kerana setiap hujung minggu atau cuti umum akan sentiasa ada pelancong datang berkelah ke Gunung Jagoi, Bau ataupun air terjun Kampung Duyoh, Bau dimana jalan masuknya terletak betul-betul di hadapan rumah beliau. Disebabkan itu, beliau mula terfikir untuk menjual makanan di situ. Beliau mula menjual pelbagai menu makanan dan minuman seperti burger, kolok mee, cucur pisang (banana cheese), ABC dan banyak lagi.
Menyedari kekurangan ICT di dalam dirinya, Puan Nora, telah mendaftar sebagai ahli di PI pada tahun 2015 dan mula menyertai kelas ICT yang diadakan. Di situlah beliau mempelajari semua modul pembelajaran yang disediakan, iaitu asas komputer, pengenalan internet, mendaftar akaun e-mel dan Facebook, INTEL Entrepreneurship dan sebagainya.
Setelah mengikuti beberapa bengkel dan program kesedaran ICT dan keusahawanan yang dijalankan selama beberapa bulan, Puan Nora semakin aktif dan giat menjalankan promosi produk-produk makanan dan minuman yang dihasilkan di laman Facebook miliknya. Pelanggan beliau juga makin bertambah. Kebanyakkan mereka mengetahui produk jualan beliau melalui promosi beliau di Facebook. Promosi secara atas talian yang sering beliau lakukan di Facebook juga memudahkan para pelanggan mengetahui lokasi jualan beliau yang terkini. Beliau juga turut mengubah strategi pemasaran daripada hanya menjual di tepi jalan sebelum ini dengan turut menawarkan khidmat penghantaran ke rumah (Cash On Delivery) jika tempahan dilakukan secara atas talian.
Sepanjang tempoh perniagaannya di kampung, pelbagai rintangan telah ditempuhinya dan itu menjadikan beliau lebih bersemangat untuk terus berjaya. Kini beliau telah mempunyai gerai jualan sendiri di Pekan Bau dan mampu berbangga dengan pendapatan harian beliau yang semakin meningkat.