Program Advokasi Klik Dengan Bijak (KDB) bersama Pelajar Tingkatan 2 SMK Lake

16 Februari 2019 | Aktiviti Terkini

Program Advokasi Klik Dengan Bijak (KDB) bersama Pelajar Tingkatan 2 SMK Lake ini telah diadakan pada hari Jumaat, 15 Februari 2019. Program ini telah dijalankan atas kerjasama antara enam buah Pusat Internet (PI) di Daerah Bau iaitu PI Bogag, PI Krokong, PI Serasot, PI Sibuluh, PI Skio dan PI Tanjung Bowang. Klik Dengan Bijak adalah sebuah program yang membudayakan penggunaan internet secara positif berteraskan 3 aspek iaitu keselamatan, kewaspadaan dan tanggungjawab yang menitikberatkan kawal selia kendiri (self-regulation) dalam membendung masalah penyalahgunaan internet.

Program ini bertujuan untuk melahirkan pengguna yang celik terhadap teknologi dan kandungan media baru (bijak internet), mewujudkan rasa tanggungjawab dalam kalangan pengguna internet supaya beretika dan prihatin terhadap pengguna yang lain, memberi pendidikan kepada pengguna internet tentang kepentingan kawal selia kendiri dan mewujudkan persekitaran yang selamat untuk pengguna melayari internet. Disamping itu, ia juga bertujuan untuk mempromosikan Pusat Internet di Daerah Bau serta fungsinya dalam membantu menjadikan masyarakat celik IT, dan mengeratkan hubungan baik antara kakitangan PI dan Sekolah.

Dalam program ini, para peserta diberi taklimat berkaitan isu-isu KDB seperti ‘Oversharing’, ‘Maklumat Palsu’ dan ‘Buli Siber’. Melalui taklimat berkaitan isu Oversharing, para peserta dididik agar tidak berkongsi maklumat yang tidak sepatutnya terutamanya maklumat peribadi mereka di internet atau laman sosial mereka supaya tidak terlebih berkongsi bagi mengelak daripada jenayah siber seperti kecurian identiti dan hendap siber. Melalui taklimat berkaitan isu Maklumat Palsu pula, para peserta dididik agar sentiasa menyemak dahulu maklumat yang mereka perolehi dari internet sama ada ianya adalah benar atau palsu sebelum berkongsi atau menyebarkan maklumat tersebut. Mereka turut didedahkan kepada aplikasi dan laman web sebenarnya.my dimana mereka boleh menyemak maklumat yang diperolehi sebelum bertindak menyebarkan berita.

Manakala dalam taklimat berkaitan isu Buli Siber pula, para peserta dididik tentang apa itu buli siber dan cara-cara untuk mencegah dan mengatasi perbuatan buli siber. Di akhir taklimat tersebut, aktiviti berbentuk kuiz dan permainan KDB ‘Action Kamen’ dan ‘Copy Paste’ diadakan untuk meningkatkan pemahaman tentang isu-isu KDB yang telah disampaikan dalam taklimat tersebut. Sebelum berakhirnya program ini, sesi penyampaian hadiah diadakan bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Program yang berlangsung di Dewan Seri Mutiara SMK Lake, selama 3 jam 30 minit bermula dari 2.00 petang ini dihadiri oleh seramai 245 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 2 dan guru SMK Lake. Program tamat pada pukul 4.30 petang.

Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan:

Kembali Ke Atas

kembali