MDB Talk Series: Aspirasi Usahawan Serba Boleh

18 Oktober 2021 | Aktiviti Terkini

Pada 17 Oktober 2021 Kluster Menarik Di Bau telah berkolaborasi bersama Cr. Sarema Putri yang merupakan seorang usahawan dan juga pereka fesyen dari daerah Bau dalam satu lagi siri bual bicara santai bertajuk ‘Aspirasi Usahawan Serba Boleh’. Sarema Putri merupakan pengasas kepada Sri Putri Collection, Sri Putri Bridal & Dressmaking, Sri Putri Hamper & Gift dan juga Fresh Bird Nest Sri Putri (minuman air sarang burung). Untuk sesi MDB talk series kali ini pihak kami telah mengambil inisiatif untuk mendapatkan perkongsian bersama dengan Sarema Putri berkenaan dengan perjalanan perniagaan beliau serta mengambil teladan agar dapat menginspirasi golongan belia atau anak muda untuk tidak takut memulakan langkah pertama di dalam bidang keusahawanan.

Antara topik perkongsian yang telah dibincangkan termasuklah mengenai penglibatan awal beliau di dalam bidang keusahawanan pakaian, kesan Covid-19 terhadap perniagaan serta perkembangan terkini perniagaan beliau, strategi perniagaan analisis SWOT (Strength, Weakness, Opportunities, Threats) juga cara pengurusan masa serta tugas beliau dalam perniagaan. Sesi program Bual Bicara ini telah membincangkan sub-topik di atas dengan padat dan penuh informasi untuk dijadikan sebagai informasi yang bermanfaat kepada pengguna laman sosial serta dapat memberikan inspirasi kepada anak muda di luar sana yang ingin berkecimpung di dalam dunia keusahawanan khususnya bagi yang baru sahaja ingin bermula. Sesi ini turut mempunyai sesi Q&A di penghujung program di mana pengguna laman sosial mengajukan soalan-soalan dari ruangan komen Facebook. Menerusi sesi bual bicara ini, tetamu jemputan turut diberi peluang untuk mempromosikan produk serta laman sosial perniagaan beliau kepada para penonton.

Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan:

Kembali Ke Atas

kembali